Cadangan Pengurusan Sampah Sifar Secara Atas Talian

Mohammad Nazir Bin Ahmad @ Sharif

Geran Universiti Penyelidikan (GUP)

 

 

Konsep ke arah “Sampah Sifar” atau “Zero Waste” merupakan sebuah konsep dan pendekatan yang semakin popular dan sangat diperlukan dalam memastikan kelestarian alam sekitar. Ia menekankan pengurangan pelupusan sisa pepejal atau sampah di tapak pelupusan (land fill), meningkatkan peratus kitar semula, memupuk amalan kitar dan guna semula di kalangan penduduk. Secara tradisional, pengurusan sisa pepejal di negara seperti Malaysia adalah bersifat linear, yang menjadikan tapak pelupusan sampah terlalu sesak akibat menerima sampah yang berlebihan. Situasi ini mengakibatkan ketidakcekapan pengurusan pelupusan sisa pepejal di tapak-tapak pelupusan. Ia juga menyebabkan persekitaran yang tidak sihat dan semakin sukar ditangani, serta kos pelupusan yang terus meningkat. Kaedah linear ini perlu ditransformasikan kepada bersifat berputar (Circular). Bagi tujuan mengatasi isu dan permasalahan di atas, kombinasi aktiviti kesedaran terhadap kualiti alam sekitar dan penggunaan teknologi ICT dikenalpasti mampu membantu mencapai sasaran “Sampah Sifar”. Pengurusan sampah yang bersifat berputar boleh dilaksanakan dalam sebuah platform aplikasi Web dan juga Mudah Alih, yang dinamakan sebagai “GrabWaste”. Model konseptual (Conceptual model) bagi menjelaskan pengurusan model bisnes sampah berputar boleh dibangunkan. Kemudian, model ini menjadi asas kepada pembangunan aplikasi Web dan Mudah Alih berkenaan. Dalam hal ini, metodologi pembangunan secara pantas seperti RAD (Rapid Application Development) akan digunakan untuk membangunkan kedua-dua aplikasi, manakala metodologi kejuruteraan ontologi akan digunakan untuk membangunkan model konseptual sebagai Asas Pengetahuan (knowledge base) kepada aktiviti semasa pembangunan secara RAD. Model bisnes seperti Grab, Uber yang telah terbukti berjaya akan diadaptasi dalam pembangunan GrabWaste ini. Hasil dari penyelidikan ini, ia dijangka mampu menyumbang sekurang-kurangnya dua harta intelek utama. Pertama, model konseptual sebagai Asas Pengetahuan merupakan intipati atau “brain” kepada pembangunan GrabWaste. Kedua, sistem prototaip GrabWaste sangat berpotensi dikomersilkan. GrabWaste bukan hanya merealisasikan pengurusan sampah berputar, ia juga mampu menjana pendapatan komuniti, secara jangka panjang boleh merubah langskap pengurusan sisa pepejal di Malaysia.