Development of Readiness Model Towards Industrial Revolution (IR4.0) Among Malaysian Industries

Headed by Dr. Mohamad Taha Bin Ijab.

Geran Galakan Penyelidikan (GGP)

 

 

Revolusi Industri Keempat (IR4.0) adalah satu revolusi digital yang bukan hanya tertumpu kepada industri pembuatan dan pengilangan, malah turut melibatkan semua sektor termasuk industri perkhidmatan. Sektor industri memerlukan teknologi IR4.0 untuk kekal berdaya saing. Walaupun konsep IR4.0 berasal daripada Industri 4.0 dari Jerman yang merujuk kepada sistem pengeluaran pintar dalam sektor pembuatan, dalam konteks Malaysia, istilah yang lebih relevan ialah IR4.0. Ini kerana rangka kerja IR4.0 adalah lebih luas dan merangkumi semua sektor termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tinjauan literatur menyatakan bahawa kesediaan industri terhadap IR4.0 di Malaysia masih di tahap rendah. Objektif kajian ini ialah untuk mengenalpasti faktor yang mempengaruhi kesediaan industri menggunakan IR4.0, membangunkan model kesediaan industri dan menghasilkan indeks tahap kematangan terhadap IR4.0 dan seterusnya mengesahkan model tersebut.

Model penyelidikan akan dibangunkan hasil sintesis literatur berdasarkan konstruk dan teori yang berkaitan seperti teori penerimaan, model kejayaan sistem maklumat, dan teori kesediaan dan kematangan. Data empirikal akan digunakan bagi mengukuhkan model yang akan dibangunkan. Kajian akan menggunakan metodologi penyelidikan bercampur (mixed method) yang menggabungkan kaedah kuantitatif menggunakan soal selidik serta temubual dengan pakar bagi kaedah kualitatif. Sampel kajian adalah pemain industri termasuk PKS dan maklumat responden akan didapatkan dari pangkalan data MITI dan SME Corp. Pemodelan Persamaan Struktur (SEM) akan digunakan untuk menguji model penyelidikan. Hasil kajian diharap dapat menerangkan faktor mendorong kesediaan industri dalam menggunakan IR4.0 serta mengenalpasti permasalahan di hadapai oleh sektor industri. Hasil kajian juga boleh memastikan tahap sebenar kesediaan dan kematangan industri di Malaysia terhadap IR4.0. Penemuan kajian boleh menjadi input kepada agensi kerajaan seperti MITI dan SME Corp dalam merangka polisi IR4.0 yang lebih bersasar dan efektif dan seterusnya menggalakkan industri di Malaysia lebih bersedia dalam menggunakan IR4.0.