Sejarah

Sejarah Penubuhan Institut IR4.0 (IIR4.0)

Penubuhan Institut IR4.0 (IIR4.0) asalnya terbentuk daripada pemerkasaan Institut Informatik Visual (IVI) pada bulan Mac 2020. IVI merupakan sebuah pusat kecemerlangan ilmu asas Sains Komputer & ICT yang mengintegrasikan pelbagai bidang lain seperti pendidikan, perubatan & kesihatan, kejuruteraan dan sosio-ekonomi untuk menjadikannya sebuah pusat kecemerlangan multi-disiplin yang telah mula dikenali di dalam dan di luar negara. Bidang penyelidikan Informatik Visual adalah  satu daripada cabang bidang penyelidikan yang mencabar dan berinspirasi.

Dunia era Industri 4.0 ini memperlihatkan lebih daripada 70% kandungan dalam Internet adalah dalam bentuk data visual dan maklumat; sementara lebih daripada 50% neuron dalam otak manusia digunakan dalam membuat keputusan melalui persepsi dan pertimbangan visual. Jadi, apabila Senat UKM meluluskan penubuhannya pada November 2011 dan seterusnya diluluskan secara rasmi di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), ia adalah amat menepati masa. Ketika itu, IVI menawarkan program Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bentuk penyelidikan dalam bidang Informatik Visual khusus kepada empat (4) bidang teras iatu: Visualisasi & Simulasi, Analitik Data Visual Cerdas, Komputer Penglihatan & Pemprosesan Imej,  dan Interaksi Komputer Manusia (HCI) & Kejuruteraan Usabiliti (UE).

Kesemua bidang ini masih relevan dengan IR4.0 tetapi perlu dimantapkan dengan banyak lagi teknologi baharu yang muncul (emerging technologies) yang kini telah menjadi tonggak IR4.0. IVI telah dipimpin dengan jayanya oleh Prof. Dato’ Dr. Halimah Badioze Zaman, Pengasas dan Pengarah pertama Institut sehingga perkhidmatan beliau tamat pada akhir tahun 2019. Institut pada awalnya mempunyai seorang Felo Utama, tiga (3) orang Felo Penyelidik kanan, dua (2) orang Felo Penyelidik dan lima (5) orang Felo Bersekutu yang dibantu oleh dua (2) orang kakitangan sokongan.

Pada tahun 2019, Institut berjaya meningkatkan bilangan Felo Penyelidik kepada lima belas (15) orang dan kakitangan sokongan seramai lapan (8) orang. Kejayaan Institut juga dapat dilihat melalui tiga puluh dua (32) orang pelajar PhD dan sepuluh (10) orang pelajar Sarjana yang telah bergraduat. Institut juga memimpin para frateniti bidang ini dalam negara melalui persidangan signature yang digelar International Visual Informatics Conference (IVIC) yang dilaksanakan dengan jayanya setiap dua tahun sekali. Institut berjaya memperoleh bangunan sendiri bertempat di Bangunan Akademia Siber Teknonopolis (AST) yang mempunyai ruang pejabat,  bilik felo, makmal siswazah, bilik seminar, gymnasium, kafe, auditorium teknologi multimedia-fusion dan makmal penyelidikan.

Pemerkasaan baharu ini bermakna Institut IR4.0 masih kekal sebagai pusat kecemerlangan yang multi-disiplin tetapi akan merangkumi lebih banyak bidang penyelidikan teras yang melambangkan konsep asas IR4.0 iaitu Siber-Fizikal dan Biologikal. Semestinya penyelidikan yang dijalankan juga akan lebih meluas meliputi teknologi terbaharu yang muncul (emerging technologies) yang merupakan tonggak IR4.0 seperti Artificial Intelligence, Internet of Things, Cloud Computing, Advanced Visualisation, Virtual Reality & Augmented Reality, Autonomous Systems, Universal Integration, Additive Manufacturing, Data Raya (Big Data), Robotik, dan Keselamatan Siber.